PERAGUT TUMPAS DI MIRI DISYAKI TERLIBAT TUJUH KES LAIN

MIRI 9 Mei - Seorang warga asing yang diberkas polis di sini semalam kerana meragut beg seorang wanita dipercayai terlibat dalam tujuh kes curi dan ragut lain, kata Ketua Polis Daerah ACP Jamaluddin Ibrahim.

Katanya lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan, dan polis sedang berusaha menjejaki seorang lagi rakannya yang berjaya melarikan diri dalam kejadian semalam.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Jamaluddin berkata siasatan polis mendapati lelaki berkenaan bersama seorang rakannya yang masih bebas dipercayai menjalankan kegiatan mereka sejak beberapa bulan lepas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, lelaki itu bersama seorang rakannya dikatakan mengekori seorang wanita yang baru keluar dari sebuah bank di sini, sebelum beliau bertindak merampas beg wanita itu yang mengandungi wang tunai RM35,000.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan, namun rakannya sempat melarikan diri.- BERNAMA