PELAKSANAAN PROJEK LUAR BANDAR SABAH, SARAWAK DIPERCEPATKAN

SIBU, 9 Mei - Kerajaan pusat sedang mencari kaedah terbaik bagi mempercepat pelaksanaan projek di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Beliau berkata kerajan prihatin terhadap keperluan khusus dua negeri itu
berdasarkan keluasannya.

"Dua negeri ini juga sangat istimewa kerana penduduknya, terutama yang tinggal di luar bandar, merupakan penyokong tegar Barisan Nasional," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan sudah tentu menghargai keyakinan dan kepercayaan yang mereka tunjukkan sejak sekian lama, kata beliau, sambil menambah bahawa mereka yang memiliki pendirian seperti itu sewajarnya diberi pertolongan agar mereka tidak ketinggalan.

Beliau berkata dakwaan kononnya kerajaan telah memperuntuk perbelanjaan yang terlalu besar bagi membiayai pelaksanaan projek semasa pilihan raya kecil negeri Batang Ai baru-baru ini, adalah tidak benar.

Salang juga menafikan dakwaaan kononnya kerajaan telah mengenepikan pembangunan di tempat lain apabila ia meluluskan projek bernilai lebih RM80 juta semasa pilihan raya kecil itu.

"Kebanyakan projek besar bagi Batang Ai telah diluluskan jauh lebih awal daripada itu, tapi pelaksanaannya ditangguh untuk sementara waktu. Tiada salahnya bagi kerajaan melaksanakan projek berkenaan kerana ia bertujuan memberi manfaat kepada rakyat," katanya. - BERNAMA