PEROMPAK KEDAI EMAS MATI DITEMBAK PENGAWAL KESELAMATAN

PULAU PINANG, 9 Mei -- Seorang perompak mati manakala seorang pekerja kedai emas cedera apabila sekumpulan penjenayah bersenjatakan senapang dan pistol merompak sebuah kedai emas di Kompleks Bukit Jambul, di sini malam ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam semasa tiga perompak menyerbu masuk ke kedai emas itu dan terus mengacukan senjata api serta mengarahkan semua pekerja memasukkan barang kemas ke dalam beg yang dibawa mereka.

Beliau berkata dalam keadaan kelam kabut itu, pengawal keselamatan yang berada di sebalik cermin gelap kedai berkenaan bertindak melepaskan tembakan ke arah tiga lelaki berkenaan, mengakibatkan berlaku kejadian berbalas tembakan.

"Tembakan yang dilepaskan pengawal keselamatan itu mengenai dada salah seorang penjenayah berkenaan dan lelaki itu yang berumur 22 tahun dan berasal dari Balik Pulau, mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Menurutnya dua lagi rakan lelaki itu bertindak melarikan diri melalui tempat letak kereta di bahagian belakang kompleks berkenaan.

Ayub berkata seorang pekerja wanita berumur 23 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dipercayai akibat terkena tembakan dalam kejadian itu, dan beliau sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Beliau berkata semasa kejadian terdapat tujuh orang pekerja dalam kedai itu, tanpa pelanggan.

"Siasatan awal mendapati salah seorang daripada perompak yang melarikan diri itu mengalami kecederaan berikutan terdapat kesan titisan darah dari kedai emas berkenaan ke kawasan tempat letak kereta.

Menurutnya kedua-dua penjenayah itu hanya sempat melarikan dua atau tiga dulang barang kemas sahaja, manakala selebihnya yang sudah dimasukkan ke dalam beg tidak sempat dilarikan, dan ditinggalkan sahaja di kedai berkenaan.

Ayub berkata polis menemui tiga pucuk pistol dan selaras senapang serta 50 kelongsong peluru yang dipercayai digunakan tiga penjenayah itu, di tempat kejadian.

Katanya polis sedang meneliti paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam kompleks serta kedai berkenaan bagi membantu siasatan.-- BERNAMA