PERKHIDMATAN KAUNTER PALING BANYAK JADI SUNGUTAN DI SARAWAK

KUCHING, 10 Mei - Sejak mula beroperasi di Sarawak pada Julai 2007, Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima 608 aduan, sebahagian besarnya berkaitan perasaan tidak puas hati orang ramai terhadap perkhidmatan kaunter.

Pengarah BPA negeri Philip Stephen Shim berkata aduan yang diterima adalah pelbagai -- daripada perkhidmatan yang lembap hinggalah kepada sikap petugasnya yang tidak mesra terhadap pelanggan.

Tanpa menyatakan jabatan yang menjadi sasaran paling banyak aduan, beliau berkata kebanyakan aduan diterima adalah berkaitan perkhidmatan kaunter oleh jabatan dan agensi persekutuan.

"Jumlah aduan berkaitan perkhidmatan kaunter dan telefon meningkat daripada 17 antara Julai dan Disember 2007 kepada 51 pada 2008. Setakat 7 Mei tahun ini, sudah ada 32 aduan," katanya kepada Bernama.

Shim berkata biro itu telah mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi terbabit berkaitan aduan yang diterimanya dan pihak berkenaan member maklum balas positif serta mengambil langkah bagi memantapkan perkhidmatan masing-masing.

Shim berkata ada juga jabatan yang melaksanakan inisiatif penambahbaikan kualiti secara dalaman bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kaunter masing-masing.

Bagi jabatan dan agensi negeri, kata beliau kebanyakan aduan yang diterima adalah berkaitan majlis tempatan.

Katanya daripada keseluruhan 608 aduan berkenaan, 141 diterima oleh biro itu dalam tempoh antara Julai dan Disember 2007, 284 pada tahun lepas dan 183 sehingga 7 Mei tahun ini.

"Selain perkhidmatan kaunter, aduan yang diterima termasuk berkaitan tindakan yang tidak adil, kekurangan kemudahan awam, kegagalan daripada segi penguatkuasaan dan kegagalan mematuhi prosedur," katanya.

Beliau berkata kebanyakan aduan, iaitu 293, diterima biro itu melalui laman web sejak Julai 2007.

"Yang memeranjatkan, sesetengah aduan yang disalurkan melalui laman web ini diterima dari kawasan luar bandar seperti Simunjan, Kapit dan Belaga," katanya.

"Ini menunjukkan bahawa rakyat Sarawak, sama ada dari bandar atau luar bandar, sedar tentang hak mereka dan peranan BPA," katanya.

Beliau berkata BPA Sarawak, yang berpejabat di Kuching, belum ada rancangan untuk membuka cawangan di bandar lain.

Orang ramai yang ingin mengemukakan aduan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi biro itu melalui talian telefon 082-415004 atau faksimili atau menghantarnya melalui sistem pesanan ringkas kepada 15888.

Mereka juga boleh berbuat demikian di kaunter bergerak BPA, kaunter aduan bergerak bersepadu yang melibatkan agensi kerajaan lain atau melalui laman web www.pcb.gov.my.

Shim berkata BPA, bagaimanapun, tidak akan menyiasat aduan berkaitan rasuah atau yang bersifat politik atau kes yang dirujuk ke mahkamah.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa mereka yang mengemukakan aduan, tidak akan disenaraihitamkan oleh jabatan atau agensi terbabit. Mereka juga tidak perlu menyatakan nama bagi kes tertentu," katanya.—BERNAMA