PEMBAKARAN TERBUKA:ORANG RAMAI LARI BERTEMPIARAN APABILA OPERASI SAMAN DIMULAKAN

MIRI, 13 Mei - Orang ramai yang berada di sekitar kawasan pembakaran belukar antara Kuala Baram dan Tudan di sini hari ini lari bertempiaran apabila operasi menyaman mereka yang terbabit dalam pembakaran secara terbuka dimulakan.

Mereka berbuat demikian apabila melihat kehadiran pegawai penguatkuasa Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Alam Sarawak (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bagaimanapun, Pemangku pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana alam Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata setakat ini tiada kompaun dikenakan terhadap mereka yang terbabit dalam kejadian pembakaran hutan secara terbuka.

Mengikut ordinan Sumber Alam Negeri 1993, NREB boleh mengenakan kompaun RM200 terhadap mereka yang terbabit dalam pembakaran terbuka manakala JAS boleh mengenakan kompaun RM5,000 ke atas pesalah terbabit mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Katanya pasukan penguatkuasa JAS dan NREB memulakan operasi itu selepas langkah awal mengeluarkan amaran kepada mereka yang didapati memulakan pembakaran terbuka, tidak diendahkan.

Keadaan alam sekitar di kawasan di antara Kuala Baram dan Tudan, kira-kira
20 km di utara bandar ini, terjejas sejak tiga minggu lepas berikutan kekerapan
kejadian pembakaran belukar oleh mereka yang berniat meneroka tanah secara haram
dan menjalankan kegiatan peladangan secara kecil-kecilan.

Setakat tengah hari, pembakaran belukar dikesan di beberapa tempat di dalam
kawasan Kuala Baram berdekatan jambatan Asean yang terletak kira-kira 3km dari
sempadan Malaysia-Brunei.

Kebakaran itu masih merebak terutama di kawasan baru di sekitar kawasan
tanah di kawasan jambatan itu dan berdekatan Universiti Teknologi Curtin di
Senadin.- BERNAMA