KONTRAK JURULATIH PASUKAN LIGA PREMIER SARAWAK DITAMATKAN

KUCHING, 13 Mei - Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menamatkan kontrak Robert Albert selepas melatih pasukan liga premier Sarawak selama empat bulan berkuatkuasa semalam.

Setiausaha Agung FAS Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata tindakan disebabkan
masalah kewangan yang dihadapi FAS pada masa ini yang boleh menjejaskan bayaran
gaji bulanan Albert.

"Kami menamatkan kontrak itu berdasarkan perjanjian dan rasa saling timbang rasa. Dia (Albert) bukan dipecat atau mahu meletak jawatan tetapi disebabkan masalah kewangan, kami terpaksa membuat keputusan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad berkata FAS dan Albert masih belum berbincang berhubung jumlah pampasan tetapi memberi jaminan ia akan dibuat secara profesional.

"Selepas ini tugas jurulatih akan diambilalih oleh Mohd Farhan Abdullah,
Mohd Azley Abdullah dan David Usop yang merupakan penolong Albert sebelum ini,"
katanya.

Katanya dengan penamatan kontrak Albert yang juga bekas pengarah teknikal
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), beban kewangan FAS akan dapat dikurangkan.

"Pada masa ini kami masih berhutang sebulan gaji dengan para pemain, kami
masih menunggu bantuan kewangan daripada kerajaan negeri, harap-harap tidak lama
lagi," katanya.

Katanya kebanyakan sumber kewangan FAS adalah hasil sumbangan daripada
individu dan badan korporat.

"Walaupun menghadapi masalah kewangan, kami akan bermain di tempat lawan," katanya sambil menambah bahawa FAS komited untuk menyelesaikan masalah pembayaran gaji lewat kepada para pemain.

Katanya moral para pemain masih tinggi walaupun mereka tidak menerima gaji
mengikut jadual.- BERNAMA