Entulu nafi laporan akhbar mengatakan istilah Dayak perlu digugurkan

KUCHING 12 Mei - Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun menafikan berita yang memetik beliau menyarankan agar istilah Dayak tidak lagi digunakan.

Marah dengan laporan berkenaan, beliau dikatakan menconteng berita berkenaan daripada Bernama yang disiarkan di akhbar The Borneo Post.

Beliau pada masa itu mengadakan sidang akhbar di Bangunan Masja di sini, semalam.

Entulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, berkata Bernama sebenarnya salah faham tentang apa yang diperkatakannya pada satu majlis di Sibu pada malam Sabtu lepas.

Beliau katanya, cuma mahu perkataan 'lain-lain' yang sering digunakan dalam borang rasmi kerajaan atau swasta digantikan dengan nama-nama kaum yang lebih khusus, misalnya Iban.

"Apa yang dilaporkan oleh agensi berita nasional itu dalam akhbar tempatan hari ini adalah tidak benar sama sekali dan bertentangan dengan pendapat saya," katanya.



KOMEN: Kadang-kadang pengamal media sering disalahkan apabila berlaku perkara sebegini. Kadang-kadang ada juga pengamal media yang menggunakan 'andaian' dalam penulisan berita. 'Andaian' adalah salah dari aspek amalan kewartawanan.