Showing posts with label joseph entulu belaun. Show all posts
Showing posts with label joseph entulu belaun. Show all posts

Entulu nafi laporan akhbar mengatakan istilah Dayak perlu digugurkan

KUCHING 12 Mei - Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun menafikan berita yang memetik beliau menyarankan agar istilah Dayak tidak lagi digunakan.

Marah dengan laporan berkenaan, beliau dikatakan menconteng berita berkenaan daripada Bernama yang disiarkan di akhbar The Borneo Post.

Beliau pada masa itu mengadakan sidang akhbar di Bangunan Masja di sini, semalam.

Entulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, berkata Bernama sebenarnya salah faham tentang apa yang diperkatakannya pada satu majlis di Sibu pada malam Sabtu lepas.

Beliau katanya, cuma mahu perkataan 'lain-lain' yang sering digunakan dalam borang rasmi kerajaan atau swasta digantikan dengan nama-nama kaum yang lebih khusus, misalnya Iban.

"Apa yang dilaporkan oleh agensi berita nasional itu dalam akhbar tempatan hari ini adalah tidak benar sama sekali dan bertentangan dengan pendapat saya," katanya.



KOMEN: Kadang-kadang pengamal media sering disalahkan apabila berlaku perkara sebegini. Kadang-kadang ada juga pengamal media yang menggunakan 'andaian' dalam penulisan berita. 'Andaian' adalah salah dari aspek amalan kewartawanan.

HENTIKAN PENGGUNAAN ISTILAH ‘DAYAK’ - ENTULU

SIBU, 10 Mei - Istilah ‘Dayak’ yang dicipta oleh penjajah bagi merujuk kepada 26 masyarakat bukan Islam di Sarawak pada 1820-an, tidak lagi wajar digunakan sekarang, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun.

Katanya penggunaan istilah itu patut dihentikan kerana ia membawa konotasi negatif seperti tidak bertamadun, kasar dan berkelas rendah.

"Malah, beberapa tahun lepas, beberapa pemimpin masyarakat bukan Islam Sarawak mencadangkan agar kerajaan menggugurkan penggunaan istilah itu. Saya percaya cadangan ini mendapat sokongan menyeluruh daripada pemimpin dan mereka yang berkenaan.

"Oleh itu, saya ingin mengulangi saranan kepada kerajaan supaya menimbang untuk menggugurkan penggunaan istilah itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara pelantikan anggota jawatankuasa baru Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Rajang, yang diketuai pengerusinya Maj (B) Mosses Ripai di sini malam tadi.

Entulu berkata walaupun merangkumi lebih separuh daripada 2.5 juta penduduk negeri ini, masyarakat pribumi Sarawak, masih belum diiktiraf berdasarkan kumpulan etnik masing-masing.

"Kalau kita lihat pada borang atau dokumen rasmi, dalam ruangan bagi bangsa, mereka hanya menyebut sama ada Melayu, Cina, India atau lain-lain.

"Ini berlaku walaupun pada hakikatnya, mereka yang dirujuk sebagai ‘Dayak’ ini, merupakan penduduk majoriti negeri ini dan antara kumpulan penduduk utama negara ini.

"Saya percaya, adalah lebih bijaksana dan tepat, jika istilah khusus seperti Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit dan sebagainya digunakan," kata beliau.

Entulu berkata beliau mendapat tahu bahawa ada anggota masyarakat Dayak yang bekerja di Semenanjung Malaysia, tidak dibenarkan melabur dalam Amanah Saham Nasional atau memohon rumah kos rendah kerana ada pihak menganggap mereka bukan kaum bumiputera. – BERNAMA